Hati dan Batu?
Tuesday, July 14, 2009 | Author: hidden_fareha

Kemudian setelah itu, hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal yang mengalir sungai-sungai darinya, dan diantaranya sungguh ada yang terbelah, lalu keluarlah mata air darinya, dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan.
(Al-Baqarah, 2:74)

***

Hubungan ini landasannya akidah yang tulen. Kerana Allah semata-mata. Da'wah ini asasnya hubbufillah (Cinta kerana Allah), bertitik tolak diantara habbluminnaAllah dan habbluminnannas. Antara kita, lebih banyak persamaan dari perbezaan. Carilah titik persamaan dan rungkaikanlah sebarang perbezaan. Jangan biarkan perkara yang remeh menghalang cita-cita kita yang besar. Kerana kita semua mengerti bahwa al-wajibat aksaru minal auqat (Tanggungjawab melebihi masa yang ada).

***

Mengenang kisah Aus dan Khazraj yang disatukan sebagai Ansar oleh Rasulullah s.a.w.

Syas bin Qais, seorang tokoh Yahudi merupakan pemimpin kepada kekufuran. Dia sangat membenci dan mendengki orang-orang Muslim. Suatu hari, dia melewati beberapa orang Aus dan Khazraj yang sedang berkumpul dan berbincang-bincang dalam suatu majlis. Perasaan benci dan meradang mula menyelinap dalam hatinya melihat kerukunan, persatuan dan keakraban diantara Aus dan Khazraj kerana Islam. Sedangkan, semasa jahiliyyah, Aus dan Khazraj saling bermusuhan.

"Tidak. Aku tidak akan membiarkan mereka bersatu padu" bisik hati kecilnya. Lantas Syas bin Qais menghampiri seorang pemuda Yahudi lalu dia berkata,

"Hampirilah mereka dan duduklah bersama mereka. Kemudian ungkitlah kembali Perang Bu'ats yang pernah mereka alami. Lantunkan juga syair-syair yang pernah mereka ucapkan secara berbalas-balasan pada saat itu!" arah Syas bin Qais penuh licik.

Pemuda tersebut melakukan seperti apa yang diperintahkan kepadanya. Berlakulah perdebatan dan pergaduhan antara Aus dan Khazraj, menghidupkan kembali akar peperangan antara mereka. Tanpa berlengah, masing-masing mengambil senjata sehingga hampir-hampir sahaja berlaku pergaduhan fizikal, jika tidak kerana kehadiran Rasullullah s.a.w.

"Ya ayyuhal Muslimun. Allah...Allah... Apakah masih ada seruan-seruan jahiliyyah, padahal aku ada di tengah-tengah kalian, setelah Allah menunjuki kalian untuk memeluk islam, memuliakan kalian, memutuskan urusan jahiliyyah dari kalian, menyelamatkan kalian dari kekufuran dan menyatukan hati kalian dengan islam??" seru Rasulullah s.a.w kepada golongan Ansar tersebut.


Senjata dilepaskan. Mereka mula sedar bahawa peristiwa ini tidak lain hanyalah bisikan syaitan dan tipu daya musuh. Tangisan mula membasahi pipi, mereka lantas saling berpelukan. Mereka beranjak meninggalkan tempat tersebut bersama-sama Rasulullah s.a.w, dengan penuh ketaatan dan kepatuhan kepada baginda, kerana Allah S.W.T telah memadamkan tipu daya musuh Allah, Syas bin Qais.

"Wahai orang-orang yang beriman. Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, niscaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman"
(A-li Imraan, 3:100)

***

Walau apa pun tipu daya musuh, hanya Allah sahajalah yang mampu menyatukan hati-hati orang yang beriman. Persatuan merupakan hasil keimanan, manakala perpecahan itu buah hasil kekufuran (Yusof Qardhawi, Fiqh Ikhtilaf). Maka, tepuklah dada dan tanyalah rasa iman. Jangan sampai hati menjadi keras seperti batu, atau lebih keras lagi.

"Dan Dialah yang menyatupadukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau membelanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, niscaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana"
(Al-Anfaal, 8:63)





|
This entry was posted on Tuesday, July 14, 2009 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: