Puzzle-puzzle islam
Monday, June 29, 2009 | Author: hidden_fareha

“Kenapa puzzle ni tak cukup?” tanya Huzaifah kehairanan.

Mukmin memandang tepat wajah sahabatnya itu. Cebisan puzzle itu memberi ilham kepadanya untuk menceritakan hakikat islam yang sebenar.

“Awak tahu Huzaifah, islam di zaman ini persis seperti puzzle-puzzle yang tidak lengkap ini...” sahut Mukmin sambil memandang tepat cebisan-cebisan puzzle itu. Huzaifah terdiam memikirkan apa yang dikatakan oleh sahabatnya itu. Timbul seribu satu pertanyaan di kotak pemikiran Huzaifah.

“Saat ini, gambaran terhadap islam terlalu sempit. Islam hanya disinonimkan dengan ibadat-ibadat ritual; syahadah, solat, puasa, zakat, haji.. itu sahaja.. Konteks islam menjadi terlalu sempit, Islam hanya terletak pada nama, hanya di masjid-masjid, atau pada hari-hari dan tempat-tempat tertentu” sambung Mukmin.

“Tapi... bukankah itu yang kita pelajari selama ini?? Apa maksud awak Mukmin? Adakah kalimah syahadah, solat, puasa, zakat dan haji bukan sebahagian dari islam???” tanya Huzaifah yang mula kebingungan.

Mukmin mengambil puzzle tersebut lantas mencantumkannya satu persatu sehingga jelas kelihatan gambaran puzzle tersebut.

“Bukan begitu, cuba awak perhatikan hadith Rasulullah s.a.w, “Terbinanya islam diatas lima pillar; Syahadah, Solat, Puasa, Zakat dan Haji.. cuba awk perhatikan hadith tersebut, islam itu bukanlah kelima-lima perkara tersebut. Tetapi, Rasulullah menggunakan perkataan “bunyya” yang bermaksud binaan, maksudnya islam di bina di atas lima asas ini. Maka, islam ini lebih daripada kelima-lima perkara itu. Islam ini adalah satu sistem yang menyeluruh yang mengandungi semua aspek kehidupan. Ia adalah daulah dan negara ataupun kerajaan dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun kasih sayang dan keadilan. Ia adalah peradaban dan undang-undang ataupun keilmuan dan hukum-hukum. Ia juga adalah material dan harta benda ataupun kerja dan kekayaan. Ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Begitu juga ia adalah akidah yang benar dan ibadat yang sahih, kesemuanya adalah sama pengiktibarannya di sisi kita” terang Mukmin dengan panjang lebar.

“Ibaratnya, islam ini seperti rumah atau bangunan. Lima perkara asas itu hanyalah tiang-tiang yang menjadi asas kepada hakikat islam yang sebenar. Tetapi ramai orang lupa, malah jahil tentang hakikat ini. Semuanya disebabkan ‘false impression’ yang di indoktrin oleh musuh-musuh islam. Hakikat islam adalah Deen (cara hidup) di padam dari kamus seorang muslim. Jadilah mereka yang mengambil islam ini separuh-separuh ” sambung Mukmin dengan bersungguh.

Huzaifah merenung panjang. Jelas tampak wajahnya yang mula memahami sedikit-demi sedikit. Sinar wajahnya itu jelas terpancar mendengarkan kata-kata Mukmin.

“Begitu rupanya. Bertepatan dengan Al-Quran, Allah ada menyebut tentang hakikat memasuki islam secara keseluruhan, secara “kaffah”, awak pernah dengar ayat itu??”

“Ayat 208, dalam Surah Al-Baqarah bermaksud,

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu” balas Mukmin kepada persoalan Huzaifah.

“Sebab itulah kita perlu ada iltizam dan kemahuan yang tinggi untuk mengambil islam ini secara keseluruhan. Kerana hakikat islam ini adalah syumul, meliputi semua aspek kehidupan” sambung Mukmin lagi.

“Sekarang barulah saya faham erti menjadi full-time muslim. Untuk masuk ke dalam nikmat islam ini dengan sebenar-benarnya dan berusaha untuk mengembalikan kefahaman bahawa islam adalah sistem hidup yang di gariskan oleh Allah S.W.T. Hmmmm.....Nampaknya kerja kita banyak lagi. Takkan ada masa berehat buat kita selagi umat ini belum memahami kepentingan sistem Ilahi” kata Huzaifah sambil memuhasabah diri.

Kedua-dua sahabat itu merenung tepat ke arah puzzle yang bakal membentuk satu gambaran yang indah. Jauh di sudut hati mereka menginginkan bercantumnya cebisan-cebisan islam untuk menggambarkan hakikat sebenar deen ini. Agar tiada fitnah ke atas islam dan agama ini hanyalah semata-mata untuk Allah.


|
This entry was posted on Monday, June 29, 2009 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: