Kita dan exam
Thursday, May 22, 2008 | Author: hidden_fareha
“Kenapa susah sangat ni…”

Aku memandang helaian kertas-kertas dan skrin komputer yang setia menanti. Nota-nota kuliah bertaburan di meja usangku. Aku cuba menatapi semula soalan tugasan yang diberikan, malah berulang-ulang kali. Hati ku hampa. Timbul rasa sesalku kerana mengambil jurusan kejuruteraan di universiti terkemuka di Auckland ini. Cepat-cepat aku beristighfar kerana cuba mempersoalkan takdir, mempersoalkan ketentuan Allah. Aku sedar diri ini tidak layak sedikit pun menentukan nasib diri, kerana aku hanyalah hamba kepadaNya…

“Allahuakbar. Bersepahnya bilik kamu ni, Harith. Apa dah jadi ni? Angin di Auckland ni dah mule mengganas ke?" seloroh Tariq memecah kebuntuanku.

Tariq. Sahabat yang kukenali sepanjang pengajianku disini. Dialah sahabat yang sama-sama makan sedulang, yang sama-sama meniti jalan-jalan ke kuliah dan yang utama sekali, sahabat seperjuanganku. Dalam perjuangan kami menegakkankan deen di bumi Auckland ini.

Wajah Tariq yang sentiasa tenang seringkali mencetuskan rasa cemburu dalam hatiku. Bukan aku tidak tahu timbunan assignmentnya yang banyak. Bukan aku tidak tahu masanya dihabiskan untuk menziarah dan menawan hati-hati mad’u. Bukan aku tidak tahu sisa malamnya yang dihabiskan untuk bertemu dan merindu Rabbnya. Mengapa dirinya sentiasa tenang, sedangkan tuntutan dan keperluan duniawi dan ukhrawinya lebih jika hendak dibandingkan dengan diriku?

“Aku rasa tak cukup masa. Dateline untuk assignment dah dekat. Exam pule lagi berapa minggu. Takut result teruk sebab kurang preparation. Banyak benda lain pula kena cater…program, usrah, kelab. risaulah…mana nak cari masa ni???” aku mula merungut, cuba meraih simpati seorang sahabat.

Tariq memandangku dengan penuh tanda tanya. Seolah-olah tidak percaya kata-kata sebegitu terbit dari mulutku.

"Kan masa tu Allah yang bagi. Semua orang dikurniakan 24jam. Tapi apa yang kita manfaatkan dari masa yang ada itu membezakan kita. Percayalah dengan barakah masa yang ada. Kadang-kadang kita ada masa yang amat sedikit, tetapi Allah berkati masa yang sedikit itu… dan ia menjadi seolah-olah sangat-sangat panjang dan mencukupi untuk kita…”ujar Tariq membina imanku kembali.

“Dan apalah yang nak dirisaukan dengan peperiksaan itu… kan Allah dah takdirkan rezeki kite. Dari saat kita di alam ruh lagi. Ingat tak hadith ke4 yang kita kupas dahulu? Ajal, rezeki, baik buruk dan amalan kita semua dah ditentukan oleh Allah. Sekarang ni, rezeki kita, lulus atau tak, semua itu dah tertulis… dan kita berusaha ni pun sebab Allah suruh kita berusaha. Kalau kita mengimani hadith tu, tak perlulah risau tentang result kita. Bulih jadikan kita berusaha sangat banyak tapi kalau Allah tak izinkan kita menjawab dengan baik, kita masih tak dapat result yang cemerlang jua…” ujar Tariq dalam hikmah, namun terasa ketegasannya dalam berbicara.

“Dan kite belajar ni pun, kalau kite benar-benar jelas matlamat kita, semata-mata untuk redha Allah, kita tak patut rasa terbeban. Kalau seorang yang kita cinta, suruh kita lakukan sesuatu, walaupun kita tak suka, kita akan tetap buat kan?” soal Tariq menduga hatiku.

Soalan itu benar-benar menusuk hatiku. Menyedarkan aku kembali tentang matlamat sebenar aku belajar pada saat ini. Terasa diri diliputi rasa bersalah. Seringkali aku berbicara tentang redha Allah, tetapi kali ini diriku seolah-olah tidak redha dengan segala ketentuan dan ujian dariNya. Lantas aku teringat kata-kata mua’limku saat waktu persekolahan dahulu,

“Mereka yang dikurniakan Allah syurga yang mengalir sungai-sungai dibawahnya, ialah mereka, yang Allah redha kepada mereka, dan mereka redha kepada Allah…”(At-Tawbah, 9:100)

Serasa diriku tidak layak mengimpikan jannah yang serba indah itu kerana aku tidak mampu untuk redha dibebani ujian sekecil assignment dan peperiksaan. Aku cuba mengingati kembali saat waktu Rasulullah s.a.w. dan para sahabat berjuang berhabis-habisan untuk menyampaikan cahaya islam dan membenarkan kesaksian mereka kepada Allah SWT. Berbanding diriku dengan mereka, nyata sekali ujian yang dihadapi mereka jauh lebih besar dan hebat.

Aku teringat saat waktu Rasulullah dihina, dicaci, dibaling batu oleh anak-anak kecil di Thaif sehingga kaki baginda berlumuran darah…

Aku teringat saat waktu Bilal diseksa, dihempap batu ketika beliau melafazkan lafaz suci akidah “Ahad..Ahad dan Ahad”…

Aku teringat saat waktu Khabab bin A’Arat dipanggang sehingga api terpadam lantaran peluhnya…

Aku masih ingat saat waktu mereka yang terdahulu diboikot, dipersenda dan dianggap gila kerana akidah mereka…

Sedangkan aku???

Aku tidak diuji seperti mereka. Mereka tabah dan tsabat demi menegakkan agamaNya. Aku pula masih berkira-kira, masih kecewa dan putus asa dengan ujian yang tidak seberapa. Aku mula memuhasabah diri, menghisab diri… akur dengan kelemahan diri. Betapa banyaknya pengorbanan mereka yang terdahulu berbanding dengan pengorbananku yang kecil ini…

Pandanganku mula beralih kepada wajah jernih milik sahabatku yang setia menanti. Secangkir senyumanku hadiahkan kepadanya. Syukur pada Allah kerana mengurniakan dia sebagai asbab untuk mengingatkan aku kembali padaNya tatkala aku mula lupa. Aku mula membina tekad dan mengatur langkah. Agar diri ini tidak mudah goyah dan menyerah kalah. Aku ada Allah dan aku ada sahabat yang luhur menyokongku dari segenap sudut.

“Berusahalah demi redha dan agamaNya!!” tekadku, membuang perasaan jemu dan ragu-ragu. Tiada yang perlu ku bimbang kiranya keyakinan pada Allah itu wujud.

|
This entry was posted on Thursday, May 22, 2008 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: