Hujan dan Payung II
Wednesday, December 30, 2009 | Author: hidden_fareha



Hujan turun lagi. Pasti dek kerna bumi nan kering ini, langsung sekali Allah mengirimkan tenteranya ini. Menurunkan hujan sebagai sumber kekuatan persis seperti saat bermulanya Perang Badar al-Kubra. Disebalik rintik hujan yang turun, riak-riak wajah mula kelihatan; ada yang bimbang, ada yang kecewa, ada pula yang memendam rasa.

Hujan. Tarbiyyah langsung dari Allah. Mengajar kita lantas untuk sentiasa bersangka baik padaNya. Dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan (pada pandangan seorang doktor), aku terus dengan iltizamku untuk meneruskan kembara tarbiyyah ini. Diri ini wajar dididik dengan kesusahan. Bermanja-manja bukanlah sifat dan peribadi yang dimiliki seorang daie.

***
Aku mengamatinya dari jauh. Teringin sekali untuk menegurnya, bertanya khabar berita. Tetapi, hatiku rasa malu. Teringat aku akan pertemuan kami setahun yang lalu. Bagaimana agaknya dia? Masih ingatkah dia tentang janji yang di ukir bersama? Terkadang mata bertemu, tetapi bibir sukar meluahkan rasa.

***

Aku berdoa yang amat sangat kepada Allah. Sekiranya bicaraku ini bisa mendekatkan dia kepadaMu, lantas izinkan hati ini berkongsi apa yang dirasa. Sekiranya kehadiranku bisa membajai nilai iman dihati, izinkan aku menaburinya. Dan tanpa kusangka, Allah mengatur cantik sebuah pertemuan, yang kukira amat berharga.

***

...Sebuah Cerita...
...Hujan dan Payung...

***

"Dan Dia-lah yang meniupkan angin sebagai pembawa berita gembira sebelum kedatangan rahmatNya (hujan); hingga apabila angin itu telah membawa awan mendung, Kami halau ke suatu daerah yang tandus, lalu Kami turunkan hujan di daerah itu, maka Kami keluarkan dengan sebab hujan itu pelbagai macam buah-buahan. Seperti itulah Kami membangkitkan orang-orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu mengambil pelajaran"
(Al-A'raf, 7:57)