Hakikat sabar
Saturday, September 27, 2008 | Author: hidden_fareha
Bersabar itu tidak mudah. Tapi ia tidak mustahil. Bilamana kita mengatakan
" dah cukup aku bersabar.."
hakikatnya, masih belum cukup nilai kesabaran kita itu. Indikator sabar terletak pada jiwa yang sering teguh dan tegar dalam menerima mehnah yang menimpa dan bersedia untuk meredhai (berpuas hati) dengan setiap ujian yang mendatang. Hakikat sabar yang sebenar ialah melalui didikan, tarbiyyah. Kerana manusia itu fitrahnya perlukan kepada didikan, waima formal mahupun tidak formal.

Sudah tentu kita perlu sedaya upaya cuba mendidik diri agar memiliki sifat sabar. Bersabar dalam menghadapi ujian. Saat sukar mahupun mudah. Tidak semua mereka yang dikurniakan sifat sabar. Malah ia satu anugerah dari Yang Esa buat hamba-hambaNya. Beruntunglah bagi mereka yang memiliki tahap kesabaran yang tinggi. Beruntunglah buat mereka yang bersabar. Kerana dalam firman Allah s.w.t. dalam surah al-Fussilat, mereka yang bersabar itu dijanjikan sifat-sifat yang baik.

"Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar" (41:35)

Setelah melalui madrasah Ramadhan yang bakal melabuhkan tirainya, mari kita hisab kembali amal dan pekerti kita. Adakah kita sudah cukup bersabar? Bersabar dalam menunaikan ibadah keranaNya dan jua dalam perjuangan menegakkan agamaNya. Sudahkah kita bersabar dalam kebenaran?

Sabarkah kita dalam rangka ketaatan kita kepada Allah?
Sabarkah kita dalam meninggalkan maksiat?
Sabarkah kita dalam arti tegar dalam kesulitan kerana Allah?
Sabarkah kita atas segala fitnah dan tipu daya?
Sabarkah kita atas lambatnya pertolongan?
Sabarkah kita dalam menghindari tekanan?
Sabarkah kita atas sulit dan beratnya jiwa?
Sabarkah kita atas beratnya kedurhakaan?
Sabarkah kita atas serangan orang-orang yang berpaling?

Sekiranya jawapan kita ya, aku bersabar dalam menghadapi ujian dan onak di jalan ini. Maka bergembiralah!!!.. sampaikanlah berita gembira itu buat orang-orang mukmin...Kerana hakikatnya, Allah sentiasa bersama-sama mereka yang bersabar.


"Hai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah sentiasa berserta orang-orang yang sabar" (2:153)

Menerusi ayat diatas, Allah menyeru dengan permulaan seruan yang penuh kasih sayang, hanya kepada mereka yang beriman. Bila ditambah formula iman+solat+sabar, yakinlah yang Allah akan sentiasa bersama kita. Allah pasti membantu menguatkan hati, meneguhkan, mengawasi dan menghiburkan kita dengan ayat-ayatNya. Kerana kalamNya itulah hiburan sebenar bagi diri seorang da'ie.

Hidup sebagai seorang asing di bumi asing mengajar saya erti kesabaran dalam diri. Disini, tiada suasana seumpama di bumi sendiri. Ramadhan yang berbeza, bahkan Syawal jua pastinya turut membuahkan pengalaman dan perasaan yang tidak sama seperti yang dikecapi saat di negeri sendiri. Namun begitu, diri ini perlu diingatkan berulang-ulang kembali. Tentang keberadaaan disini bukanlah suatu kebetulan. Kerana akidah kita menolak sebarang kebetulan. Pasti akan ada suatu hakikat yang perlu dipelajari.

Tidak akan datang pahala bersabar sekiranya kita tidak menerima ujian yang menuntun kesabaran. Maka bersyukurlah dengan ujian-ujian yang diberikan. Itu tandanya Allah mahu menganugerahkan kita pahala dek kerana kesabaran kita. Maka bersabarlah. Kerana hakikat sabar itu indah. Bilamana kita bersabar semata-mata untuk redhaNya...

Perjalanan masih jauh. Masih banyak yang belum ditempuhi. Masih banyak yang perlu kita pelajari. Muga kita sentiasa beroleh nilai kesabaran, seumpama kesabaran yang dimiliki para rasul dan mereka yang terdahulu...

Nasihat Ramadhan
Monday, September 01, 2008 | Author: hidden_fareha
...Daie ibarat besi berani... Makin dekat dan kuat hubungan dia dengan Allah maka makin dekat dan kuatlah hubungan manusia (mad'u) dengan dia...

Muga Ramadhan kali ini membuatkan kita lebih akrab pada Allah :)
Letakkan target utk dicapai pada madrasah tarbiyyah ini...

Salam ramadhan dari perantauan...
Ramadhan istimewa di musim bunga :)